Matlamat Pendidikan Dan Perubahan Kurikulum Dalam Perkembangan Pendidikan Di Malaysia

Matlamat pendidikan yang dihasratkan oleh FPK terbahagi kepada 2 jenis matlamat iaitu matlamat Intrinsik dan matlamat Ekstrinsik. Matlamat Intrinsik ini lebih menekankan apa kriteria yang sepatutnya setiap warganegara perolehi menerusi pendidikan. Contoh kriteria berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, pegangan agama, bertanggungjawab dan sejahtera diri. Bagi matlamat Ekstrinsik pula menekankan tentang sumbangan setiap individu terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara. Antaranya, warganegara Malaysia memberi sumbangan terhadap keharmonian & kemakmuran keluarga. Jika individu itu membentuk keluarga, diyakini dirinya mampu menjadikan keluarganya makmur dan sejahtera. Selain itu, warganegara Malaysia memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat. Pendidikan yang merupakan satu proses untuk membentuk masyarakat yang harmoni dan makmur. Seterusnya, warganegara Malaysia yang memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran negara. Pendidikan yang menerapkan nilai semangat cinta akan negara dalam diri seseorang individu. Ini merupakan matlamat pendidikan yang dihasratkan oleh FPK.

Perubahan kurikulum sentiasa terjadi di negara kita untuk memenuhi hasrat rancangan pendidikan di Malaysia. Dalam konteks pendidikan di Malaysia, perancangan dan pembentukan kurikulum adalah didasari oleh falsafah dan matlamat pendidikan negara yang menentukan haluan dan sumber inspirasi kepada semua usaha dan rancangan dalam bidang pendidikan. Menurut Abu Bakar Nordin (2013) mencadangkan penilaian lain ke atas kurikulum yang sedia ada bagi keseimbangan sosio-ekonomi. Kurikulum pendidikan yang teguh amat diperlukan dalam sesebuah negara yang membangun. Setiap perubahan yang dilaksanakan mempunyai objektif dan bentuknya tersendiri. Oleh itu, setiap ahli pembentuk kurikulum perlu mengetahui tujuan dan bentuk perubahan yang hendak dilakukan. Strategi pembinaan kurikulum berdasarkan gaya pemimpin negara masing-masing. 

Kurikulum merupakan satu proses interaksi diantara guru, pelajar dan ilmu pengetahuan. Ia juga satu proses yang aktif melalui penaakulan praktikal untuk menerangkan prinsip dan ciri pendidikan dalam bentuk yang telus. Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi proses perubahan kurikulum antaranya, faktor kehendak dan keperluan murid,keperluan negara dan masyarakat.  Kurikulum yang dibentuk seharusnya dapat memberi ilmu pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi supaya rancangannya dapat merangkumi kehendak dan keperluan murid dari segi intelek, jasmani, rohani dan sosial. Penentuan kurikulum ini amat penting dalam perkembangan sistem pendidikan di Malaysia untuk menjadikan sistemnya lebih stabil serta melahirkan warganegara yang berketerampilan tinggi dan dapat menangani cabaran-cabaran global.

Comments